Saturday, 8 November 2014

Australia dan Eropah mengugut untuk membakar al Qur’an

Bismillahir Rahmanir Raheem.. Isu beberapa orang paderi Kristian di Amerika, Australia dan Eropah mengugut untuk membakar al Qur’an dan kemudiannya benar-benar membakar kitab suci tersebut merupakan isu yang agak menarik untuk diberikan perhatian. Oleh kerana blog ini ‘berhibernasi’ semasa perkara tersebut berlaku, perkara ini dicatatkan supaya disentuh apabila saya kembali menulis nanti.


Perlakuan mereka ini tidak memberikan hatta sekelumit pun impak negatif kepada imej Islam. Tetapi perlakuan mereka ini merupakan antara perlakuan yang memakan diri sendiri. Shoot oneself in the foot kata pepatah Inggeris. Menconteng arang ke muka sendiri kata Karam Singh Walia.

 

Saya percaya secara purata, saya membaca dan memberi perhatian kepada pengkajian Bible melebihi apa yang dilakukan oleh penganut biasa agama itu sendiri. Saya juga percaya, saya memiliki sejumlah Bible yang sentiasa saya baca dan kaji melebihi jumlah Bible yang tersimpan di dalam mana-mana rumah penganut biasa agama itu. 

 

Tetapi untuk melakukan penghinaan terhadap kitab yang dianggap suci oleh penganut Yahudi dan Kristian itu, ia merupakan sesuatu yang tidak langsung tergamak saya melakukannya. Bagaimana mungkin saya dapat melakukannya sekiranya agama Islam yang indah yang mahu dipeluk dengan kemas dan erat oleh saya ini tidak membenarkannya dilakukan. Bagaimana mungkin saya mahu melakukan tindakan yang serupa jika sebahagian dari rukun iman yang membentuk sahsiah kedudukan iman seorang mukmin itu menetapkan bahawa tidak lengkap iman seorang muslim selagi dia tidak memperakui Taurat, Zabur dan Injil merupakan kitab-kitab yang pernah diwahyukan Allah sebelum al Qur’an? 


Taurat, Zabur & Injil

Benar Taurat, Zabur dan Injil telah tercemar dengan perlakuan ahli kitab yang mengubah, menyembunyikan serta mengadakan yang tiada di dalam kitab-kitab tersebut kini. Tetapi ia bukanlah satu alasan untuk mengatakan kitab-kitab tersebut salah dan tidak benar keseluruhannya lalu boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.

 

Masih terdapat ayat-ayat Allah yang masih terpelihara di dalam jumlah yang cukup untuk tujuan-tujuan tertentu di dalam kitab-kitab tersebut. Ada yang masih belum tercemar dan dipelihara Allah atas tujuan-tujuan tertentu. Ia dapat dikenalpasti dengan mudah dengan muslim yang beriman kemas dengan al Qur’an. Tetapi ia kabur dari penglihatan orang-orang biasa. Jadi untuk melakukan sesuatu yang dianggap sebagai sacrilegious act sebagaimana yang dilakukan oleh paderi-paderi Kristian tersebut ke atas kitab al Qur’an, mana mungkin seorang muslim yang faham dan beriman kepada agamanya tergamak melakukannya kepada kitab mereka untuk bertindak balas.

 

Provokasi vs Retaliasi?

Islam melarang penganutnya melakukan provokasi atau membalas provokasi tidak bertamadun dengan cara yang tidak bertamadun. Islam, sebuah agama yang menjadi catalyst yang pernah dan sedang menganjak dunia untuk berubah dari zaman manusia berfikiran kolot kepada kemajuan dan ketamadunan berasaskan akidah dan pencapaian sains, perlakuan tidak bertamadun paderi-paderi Kristian tersebut tidak dapat diterima mana-mana manusia dengan akal dan daya intelektual waras.


Muslim Juga Membakar al Qur'an?

Benar, muslim juga membakar al Qur’an. Tetapi al Qur’an yang dibakar itu merupakan al Qur’an yang sudah lusuh dan rosak. Manakala tujuan pembakarannya dengan tertib-tertib tertentu ialah bagi tujuan menjaga kesuciannya dari tercemar dengan cara pelupusan yang tidak betul. Berbeza dengan perbuatan Father Terry Jones dan sekutu-sekutunya. Tujuan mereka membakar al Qur’an ialah bagi tujuan penghinaan.

 

Beriman Dengan Kitab-Kitab Sebelumnya..

Al Qur’an yang dipegang, dibakar dan dihinakan mereka itu, pada bukaan muka suratnya yang pertama di dalam kitab itu menyatakan dengan jelas bahawa antara ciri manusia-manusia yang bertakwa kepada Allah ialah muslim yang beriman kepada al Qur’an dan kitab-kitab yang diwahyukan sebelumnya. Ayat ke empat surah al Baqarah ini sendiri menunjukkan bagaimana rasa hormat harus diberikan kepada kitab-kitab lain.


Al Baqarah ayat 2 hingga 4
2. Kitab Al-Qur'an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi pertunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
 3. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
 4. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Qur'an" yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).


Tidak semua penganut Kristian bersikap buruk dan tidak rasional seperti paderi-paderi seperti di dalam video di atas. Ramai yang berhati mulia dan bersikap sederhana di dalam aturan kehidupan mereka. Malah kebanyakan bible yang dimiliki saya merupakan bible-bible yang di dapati melalui hubungan saya dengan beberapa individu Kristian yang saya kenali. Cuma malang bagi mereka apabila tindakan paderi-paderi Kristian seperti Jones itu, menconteng arang kepada pihak mereka. Ia seolah-olah menunjukkan paderi-paderi tersebut yang seharusnya dekat dengan agama mereka, mempromosikan agama mereka sebagai sebuah agama yang tiada toleransi dan rasa hormat kepada manusia dan pegangan agama lain selain daripada mereka. Lihat sahaja dengan kes yang berlaku di Malaysia ini. Sebagai contoh kes tersebaru berkenaan dengan serbuan JAIS ke atas sebuah gereja yang dikatakan cuba memurtadkan orang-orang Islam. Perbuatan mereka-mereka ini sebenarnya memberikan satu tanda tanya kepada ramai pihak di luar sana, apakah Kristian ini sebuah agama yang menggalakkan penganutnya untuk melanggar undang-undang? Sedangkan sudah termaktub jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Selangor bahawa terdapat peraturan dan undang-undang yang dibuat untuk menyekat apa-apa aktiviti pengembangan iktikad agama selain Islam kepada orang Islam. Jelas, perbuatan kumpulan Kristian ini seolah-olah menunjukkan mereka tidak tahu menghormati undang-undang walau di mana jua mereka berada. Ini termasuklah perbuatan membakar al Qur'an dari paderi-paderi Kristian di Amerika, Eropah dan Australia.

 

Jadi, oleh kerana Islam mengajar kita semua untuk menghormati kitab-kitab suci agama lain, maka bible-bible yang berada di dalam simpanan saya dirumah akan tetap kekal diletakkan ditempat yang elok, bersih dan tersusun. Itu adalah perbezaan antara sikap kita dan mereka yang ekstrem. Di bawah ini merupakan sebahagian dari kitab-kitab Bible dan penulisan berkenaan Kristian dalam pelbagai mazhab yang saya simpan dengan elok dan penuh hormat di dalam perpustakaan kecil rumah saya. Biarlah mereka menembak kaki sendiri, yang untung kita juga nanti. InsyaAllah...









No comments:

Post a Comment